Virgil van Dijk |
Perpindahan tersebut disahkan oleh Liverpool selepas kedua-dua pasukan mencapai persetujuan hasil daripada perbincangan yang berlarutan sehingga lebih enam bulan.
Pemain berusia 26 tahun itu akan menyertai skuad kendalian Jurgen Klopp secara rasmi pada 1 Januari ini selepas mengharungi kempen sukar bersama Southampton dalam kancah Liga Perdana England musim ini.
Namun, bekas tonggak Celtic itu masih perlu berterima kasih dengan pasukan bimbingan Claude Puel itu selepas memberi ruang buatnya berbakti untuk tempoh lebih dua musim sejak berhijrah pada pertengahan tahun 2015.
“Saya sangat berbangga apabila dapat disahkan menjadi pemain Liverpool secara rasmi hari ini. Ia adalah detik yang cukup saya nantikan kerana bukan mudah untuk menyertai salah satu pasukan terbesar dunia.
“Saya tidak sabar untuk menyarung jersi keramat The Reds dan beraksi di hadapan ribuan penyokong di Anfield. Saya berjanji akan berikan yang terbaik dan berusaha keras untuk menjulang trofi berprestij bersama pasukan ini.
“Sementara itu, saya turut berterima kasih kepada bekas kelab saya, Southampton yang banyak membantu meningkatkan kerjaya saya khususnya memberi peluang beraksi dalam kancah EPL. Saya menikmati sepanjang tempoh saya berada di sana dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka,” katanya.
Rekod perpindahan pemain termahal di dunia setakat ini dipegang pemain Brazil, Neymar yang berhijrah dari Barcelona ke Paris Saint-Germain dengan nilai 222 juta Euro (RM1.128 bilion). - K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan