Fezlan Blogger


Back to Top

Isnin, 11 September 2017

Tiga Jenis Masalah Kemurungan Berbahaya Selepas Bersalin

  fezlan        Isnin, 11 September 2017   

Tiga Jenis Masalah Kemurungan Berbahaya Selepas Bersalin|Kemurungan selepas bersalin seringkali terjadi namun tidak ramai yang tahu akan fakta sebenar di sebalik masalah ini. Ketahui penerangan saintifik, simptom dan cara untuk mengatasinya sebelum ia menjadi lebih teruk!

Tidak di nafikan, proses melahirkan anak itu adalah satu proses semula jadi yang indah. Namun, sebaik sahaja anak kecil itu berada di dalam dakapan ibu, bermulalah satu kehidupan baru – dunia berpantang.

Ramai para ibu dapat mengharungi fasa berpantang dengan baik, namun ada juga yang turut mengalami kemurungan selepas bersalin. Adakah masalah kemurungan selepas bersalin ini sejenis penyakit yang di iktiraf oleh sains?

Atau adakah, ianya hanya satu gangguan daripada jin atau syaitan, seperti yang sebilangan orang Melayu kita percayai?

Artikel ini di tulis untuk merungkai persoalan tentang permasalah pos-natal dan serba sedikit memberi informasi kepada bakal-bakal ibu di luar sana.

Apakah itu Postpartum Depression (PPD)?

Menurut Dr. Zul Azlin Razali, seorang Psikiatri daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), postpartum depression adalah satu keadaan di mana si ibu mengalami kemurungan atau depresi selepas melahirkan anak.

Proses kelahiran, sama ada normal atau secara pembedahan C-Seksyen, merupakan satu proses yang mencabar. Ia menuntut banyak kesabaran, tenaga, dan pengorbanan daripada si ibu. Sakitnya pula tidak mampu diluah atau diceritakan.

Maka, tidak hairanlah jika ada para ibu yang trauma sebaik sahaja melalui proses ini, terutamanya bagi ibu yang pertama kali melahirkan anak.

Tiga Jenis Masalah Kemurungan Selepas Bersalin

Bukanlah semua kemurungan itu dikategorikan sebagai PPD. Ada tiga jenis darjat yang berbeza, biasanya dikategorikan mengikut keseriusan sesuatu kemurungan itu.

1. Postpartum Blues – Perasaan ‘Blues’ Selepas Bersalin

Postpartum Blues adalah tingkat pertama dalam kemurungan selepas bersalin. Ianya tidaklah terlalu serius.

Mereka yang mengalami masalah ini biasanya mengalami tekanan emosi yang sederhana. Bahkan, ia adalah perkara yang normal dan mungkin tidak perlu dirisaukan sangat.

Hampir kebanyakan ibu akan terkesan sedikit daripada proses melahirkan anak dan mengalami simptom yang sederhana seperti:
-Berasa sayu
-Selalu bersedih
-Berasa letih
-Perasaan bimbang
-Rasa tidak senang hati

Dengan sokongan daripada suami dan keluarga, simptom ini akan hilang dengan sendirinya.

2. Postpartum Depression – Depresi Selepas Bersalin

Istilah yang biasa kita dengar, postpartum depression, sebenarnya adalah tingkat kedua dalam masalah kemurungan selepas bersalin. Ia merupakan kesinambungan daripada postpartum blues yang tidak dikawal dengan baik.

PPD selalunya disamakan dengan ‘meroyan’. Ini adalah perkataan biasa yang orang-orang kita selalu sebutkan. Kalau anda hendak tahu, mengikut kajian saintifik, PPD atau meroyan selalunya terjadi disebabkan oleh perubahan hormon.

Sememangnya, semua para ibu akan mengalami pertukaran hormon di dalam badan mereka, sama ada sedar atau tidak. Hormon-hormon ini kemudiannya akan mempengaruhi keadaan fizikal dan emosi seseorang itu.

Antara simptom yang anda patut beri perhatian pada ibu berpantang adalah:

-Terlebih sensitif
-Banyak menangis tanpa sebab
-Selalu marah dan risau
-Terlampau letih
-Tidak tidur/terlebih tidur
-Tidak ingin mendukung atau berada dekat dengan bayi

3.Postpartum Psychosis – Keadaan Tekanan Mental Selepas Bersalin

Negara kita telah dikejutkan dengan berita tergempar baru-baru ini, di mana seorang ibu yang baru bersalin dan masih dalam proses berpantang telah mengelar leher anaknya sendiri.

Perbuatan ganas dan di luar kawalan ini adalah satu contoh daripada kesan darjat kemurungan tahap ketiga, dipanggil postpartum psychosis. Ia adalah tahap meroyan yang serius dan selalunya menunjukkan simptom yang lebih teruk daripada dua jenis di atas. Antara simptom postpartum psychosis yang anda patut berjaga-jaga adalah:

-Bercakap tentang membunuh diri
-Ingin mencederakan bayi
-Memikir yang bukan-bukan
-Mendengar bisikan-bisikan halus
-Berhalusinasi dan bercakap sorang-sorang

Kita perlu sedar bahawa tahap ini bukan lagi gangguan perasaan semata-mata, tetapi telah menjadi suatu jenis gangguan mental – satu penyakit yang di iktiraf sains! Untuk tanda-tanda meroyan atau postpartum depression yang lebih panjang dan lengkap, lihat di sini.

Bagaiman Kita Boleh Membantu Para Ibu yang Mengalami Kemurungan Selepas Bersalin?

Perkara pertama yang kita perlu lakukan apabila melihat simptom-simptom di atas berlaku kepada orang yang terdekat dengan kita, sedarlah bahawa ia bukan semata-mata ‘perangai mengada-mengada’ ibu tersebut.

Bersimpatilah dan terimalah masalah postpartum itu dengan serius kerana ia adalah penyakit yang perlu dirawat dan dibendung daripada menjadi terlalu serius. Keduanya, terdapat beberapa saranan daripada para doktor dalam menangani masalah postpartum depression ini. Antaranya adalah seperti:

Ibu yang baru bersalin perlu diberi perhatian dan jagaan penuh sama ada oleh si suami atau ahli keluarga terdekat. Keperluannya ketika berpantang perlu di penuhi.
Jaga pemakanan si ibu.

Kadangkala, cara berpantang tradisional yang sangat ketat juga akan membuatkan si ibu rimas dan mula terganggu emosi dan mentalnya.

Masukkan nutrien yang mencukupi ke dalam pemakanan si ibu kerana dengan mineral dan zat vitamin yang sempurna, si ibu dapat menghasilkan susu yang banyak, menyusukan bayi dengan baik, mengurangkan perasaan risau atau tertekan, dan sekaligus mengeratkan kasih sayang ibu dengan bayi.

Banyakkan bersembang dan berkongsi perasaan/cerita dengan si ibu. Ini untuk mengelakkan daripada dia duduk berseorangan dan mula melayan perasaan.

Galakkan si ibu untuk memperbanyakkan berzikir, membaca/mendengar alunan Al-Qur’an atau pun ceramah-ceramah agama yang bermanfaat bagi memastikan tahap emosi dan spiritual berada dalam keadaan yang sihat.

Galakkan juga si ibu untuk banyak membaca atau belajar tentang ilmu keibubapaan ketika berpantang.

Cara Merawat Untuk Meroyan Tahap Teruk / Postpartum Psychosis

Jika si ibu didapati telah mengalami tekanan mental yang serius, maka cara merawat yang betul adalah sangat diperlukan.

Di tahap ini, jika tidak dibendung, maka si ibu akan mula bertindak ganas dan mencederakan diri sendiri, bayi, dan juga orang di sekelilingnya.

-Bawalah mereka berjumpa dengan pakar psikiatri dengan segera. Buanglah stigma bahawa pakar psikiatri itu adalah untuk orang gila. Sebenarnya, mereka adalah pakar kesihatan yang mampu memberikan cara rawatan terbaik bagi gangguan emosi dan mental.

-Kini, terdapat beberapa hospital tempatan seperti Hospital Serdang yang menyediakan perkhidmatan rehabilitasi buat mereka yang mengalami masalah psikologi, emosi dan mental. Menurut Dr. Toh Chin, Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Serdang, ini adalah satu inisiatif Kementerian Kesihatan dan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan rehabilitasi psikososial ini akan dirawat sebagai pesakit luar.
1-Jika masih boleh dikawal, teruskan menggalak si ibu untuk memberi susuan kepada si anak untuk merapatkan hubungan si ibu dan si bayi. Jika tidak, teruskan dengan proses kaunseling.

2-Ubat dan rawatan susulan yang disarankan oleh pakar psikiatri perlu diberikan kepada si ibu dengan sempurna. Menurut Canadian Mental Health Association, ubatan ini akan membantu mengurangkan simptom seperti tiada selera makan, keletihan, dan masalah tidur.Kadangkala, ibu dan bayi mungkin perlu tinggal di wad hospital untuk beberapa hari untuk pemantauan rapi doktor.

3-Yang paling utama, sokongan daripada si suami. Berempatilah dengan isteri. Fahamilah dirinya. Jangan dibebankan fizikal dan emosinya semasa proses pantang.Berikan dakapan mesra dan kata-kata sayang selalu, supaya si ibu sentiasa berasa dihargai. Bantulah dalam menjaga si kecil yang baru lahir, supaya beban si ibu terangkat daripada bahunya seorang.

Postpartum Depression itu Adalah Masalah Kemurungan Yang Real

Saat selepas melahirkan anak dan proses menerima si kecil ke dalam isi rumah kita sepatutnya menjadi satu momen yang indah dalam kehidupan suami isteri, dan bukannya tragedi yang menyayat hati.

Dengan perhatian yang betul daripada orang sekeliling, rawatan perubatan yang terbaik serta sokongan emosi daripada suami dan ahli keluarga, masalah kemurungan selepas bersalin – atau meroyan, atau postpartum depression, apa sahaja yang anda ingin gelarkannya – pasti akan dapat di tangani.
logoblog
loading...
loading...

Thanks for reading Tiga Jenis Masalah Kemurungan Berbahaya Selepas Bersalin

Previous
« Prev Post

Tiada ulasan: