Tan Sri Muhammad Muhamad Taib |
“Perjuangan 5 Tahun Yang Sia-Sia” – Tan Sri Muhammad Muhamad Taib | KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata pembangkang tidak peduli untuk memperjuangkan agenda Melayu membuatkan beliau kembali menyertai UMNO.
Bekas naib presiden UMNO itu berkata keadaan itu menyebabkan beliau merasakan perjuangannya bersama pembangkang khususnya PKR sejak kira-kira lima tahun yang lalu menjadi sia-sia.
“Setelah melihat keadaan di sebelah sana (pembangkang) saya merasakan perjuangan saya sia-sia. Dalam mesyuarat-mesyuarat parti yang saya hadir, tidak pernah dibincangkan mengenai agenda Melayu.
“Bila hilangnya (agenda) Melayu, maka hilanglah perjuangan agama sendiri. Saya berpendapat tidak ada jalan lain selain UMNO yang sentiasa memperjuang kepentingan orang Melayu,” katanya pada sidang media khas yang diadakan di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.
Pada sidang media itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO mengumumkan bekas Menteri Besar Selangor itu kembali semula ke pangkuan UMNO. Turut Hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan barisan Anggota Majlis Tertinggi UMNO.
Muhammad, 72, berkata agenda perjuangan Melayu merupakan fokus utamanya dalam berpolitik sejak sekian lama.
“Terima kasih Perdana Menteri yang juga Presiden parti kerana sudi menerima saya kembali. Selepas ini saya berjanji akan bersama-sama perjuangkan parti terutama di Selangor. Saya lihat banyak kepentingan orang Melayu diketepikan dan ini banyak merugikan orang Melayu,” katanya.
Katanya, orang Melayu perlu bersama dengan UMNO untuk mengukuhkan perpaduan dan kesatuan supaya kedudukan politik orang Melayu dipertahankan.
Ini kerana, katanya, perpecahan di kalangan orang Melayu akan membuka ruang kepada pihak tertentu untuk cuba menangguk di air keruh.
Ketika ditanya bila beliau membuat keputusan untuk kembali kepada UMNO, Muhammad berkata hati beliau sememangnya bersama UMNO selama ini. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan