PELARI pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli menjadi wanita terpantas Malaysia selepas meleburkan rekod 24 tahun acara 100 meter wanita pada Kejohanan ASA Speed Series 2 di Bloemfontein, Afrika Selatan, semalam.
Zaidatul Husniah, 24, melakar catatan masa 11.45 saat dengan bantuan angin 0.4 saat, sekali gus memadam rekod terdahulu iaitu 11.50 saat dicatat G Shanti pada Kejohanan Pra-Sukan Sea di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
Memetik kenyataannya dalam laman sosial Instagram, Zaidatul Husniah bersyukur kerana dapat melakukan rekod larian terbaik selain memecahkan rekod kebangsaan.
"Saya berterima kasih kepada jurulatih, M Balamurugan, jurulatih di Afrika Selatan, Morne Nagel, kakak kembar, Zaidatul Husna Zulkifli, ibu bapa dan rakan atlet.
“Alhamdulillah, selesai perlumbaan pada hari ini. Selepas sekian lama akhirnya berjaya memperbaharui rekod peribadi terbaik dan memecahkan rekod kebangsaan dipegang G Shanti.
“Di samping itu, terima kasih kepada ibu bapa terutamanya ayah saya yang sentiasa memberikan sokongan dan kembar saya juga Husna Zulkifli kerana sentiasa bersama saya," katanya.
Dalam saingan itu, Zaidatul Husniah bagaimanapun menamatkan saingan kedua pada aksi final Kumpulan B di belakang atlet tuan rumah, Tamzin Thomas yang mewakili University of Western Cape (11.44 saat) manakala tempat ketiga diraih seorang lagi atlet tuan rumah, Tsaone Sebele dari University of Johannesburg.
Sementara itu, Ketua Kontinjen Sukan Sea Kuala Lumpur negara, Datuk Marina Chin berkata, pencapaian Zaidatul Husniah itu sudah lama ditagih kontinjen negara.
“Apa dilakukan Zaidatul tepat pada masa ketika kita bakal menghadapi Sukan Sea dan itu memberi keyakinan kepada semua atlet terutamanya bagi atlet olahraga negara.
“Sudah lama kita tidak ada pelari pecut wanita yang mampu melakukan catatan di bawah 12 saat tetapi sekarang ini kita sudah ada Zaidatul, Siti Fatimah (Mohamad) dan S Komalam Shally,” katanya semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan