Isteri penyanyi Hazama jalani pembedahan selepas disahkan mengandung luar rahim | Pemuzik Genervie Kam, 37, terpaksa menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, semalam, apabila disahkan mengandung di luar rahim. Suaminya yang juga penyanyi, Hazama, isterinya mengadu sakit perut sejak kira-kira dua minggu lalu dan selepas pemeriksaan dibuat, wanita itu disahkan hamil di luar rahim. Katanya, doktor turut menasihatkan isterinya segera menjalani pembedahan agar tiada sebarang komplikasi lain berlaku.
“Ketika Genervie ke hospital bersama ibunya, saya tidak dapat ikut bersama kerana sibuk menguruskan dua protege saya (Usop dan Balqis) untuk program Mentor Milenia. “Kemudian dia menghubungi saya untuk memaklumkan, sakit itu disebabkan dirinya sedang berbadan dua. Tidak lama selepas itu, isteri sekali lagi menghubungi saya untuk memberitahu dirinya hamil di luar rahim dan doktor menasihatkannya untuk segera dibedah. “Selain janin, tiub fallopio pada bahagian kiri juga dibuang. Syukur alhamdulillah, mujur dirinya selamat,” katanya.
Hazama dan Genervie mendirikan rumah tangga pada 15 Januari lalu di Gombak, dekat sini. Sementara itu, Hazama atau nama penuhnya Hazama Azmi, 33, menyifatkan ada hikmah tersembunyi di sebalik ujian yang menimpa isterinya. Reda dengan ketentuan Yang Maha Esa, beliau bagaimanapun percaya, Genervie pastinya bersedih, apatah lagi isterinya memang menginginkan cahaya mata. “Sebagai suami, saya perlu kuat dan reda kerana Genervie memerlukan sokongan saya.
“Mungkin ia juga boleh dianggap sebagai peringatan buat kami yang terlalu sibuk bekerja tanpa henti, sehingga tidak memikirkan kesihatan diri. “Selepas pembedahan, doktor menasihatkan isteri untuk berehat selama dua minggu, tanpa melakukan sebarang kerja,” ujarnya lagi. Hazama turut merancang untuk berehat dan meluangkan waktu bersama isteri selepas berakhirnya program Mentor Milenia 2017, beberapa minggu lagi. -BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan