Wakil rakyat ini mengaku pukul pramugara dengan selipar sebanyak 25 kali | Seorang ahli politik India, hari ini mengaku memukul pramugara syarikat penerbangan Air India 25 kali dengan seliparnya ketika berbalah mengenai tempat duduk. Wakil parti nasionalis Hindu, Shiv Sena di Dewan Rakyat, Ravindra Gaikwad, mendakwa pembantu kabin itu terlebih dahulu menghinanya dalam penerbangan dari Pune ke New Delhi.
“Apa yang dia kata, saya memukulnya dengan tangan? Saya memukulnya 25 kali dengan selipar,” kata Gaikwad kepada agensi berita ANI dalam rakaman video yang disiarkan di laman Twitter dan disiarkan di saluran berita India. Media India melaporkan Gaikwad mendakwa beliau memiliki tiket kelas perniagaan tetapi Air India menempatkannya di kelas ekonomi pada penerbangan pagi ini ke New Delhi.
Selepas mengadu kepada pramugara, Gaikwad yang mewakili Parlimen Maharashtra, kemudian bertengkar dengan pembantu kanan penerbangan. “Dia berkata akan mengadu kepada Perdana Menteri, Narendra Modi, jadi saya memukulnya. Perlukah saya dengar kenyataan itu?” kata Gaikwad. Ahli politik lain mengutuk tindakan Gaikwad manakala jurucakap Air India berkata, ia menyiasat kejadian itu. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan