Fezlan Blogger


Back to Top

Khamis, 21 September 2017

Kelebihan 10 Muharram (Hari 'Asyura')

  fezlan        Khamis, 21 September 2017   

Kelebihan 10 Muharram (Hari 'Asyura')


Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi shollallahu 'alaihi wasallam tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari Asyura. (HR Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Nabi shollallahu 'alaihi wasallam pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a., dia menceritakan bahawa Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pengumuman ini sampai malam". (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, "Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (HR Muslim)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari Asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (HR Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam "Syu`abul Iman" daripada hadits Sayyidina Abu Hurairah RA yang menyatakan: "Sesiapa yang melapangkan/menyenangkan atas keluarganya dan ahli rumahnya pada hari `Asyura, Allah akan melapangkan atasnya sepanjang tahun."

Diriwayatkan oleh Ibnu `Abdil Bar dengan sanad yang jayyid (elok) daripada Sayyidina Jaabir bin Abdullah yang berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda: " Sesiapa yang meluaskan (yakni melapangkan atau menyenangkan) atas dirinya dan ahli keluarganya pada hari `Asyura, Allah akan meluaskan (rezekinya) sepanjang tahun." Sayyidina Jabir RA berkata: "Kami telah mencubanya dan memperolehi yang sedemikian tadi (yakni apa yang dinyatakan tadi)." ("Tuhfatul Muhibbin wa Minhatul Mustarsyidin" pada halaman 71-72)

Yang dimaksudkan dengan ‘melapangkan’ atau ‘menyenangkan’ di dalam hadis di atas adalah berbelanja pada makanan dan minuman lebih banyak atau lebih istimewa daripada hari biasa, serta menggembirakan anak-anak contohnya dengan menghulur belanja lebih dan yang seumpamanya. Selain daripada ahli keluarga, maksud menyenangkan di dalam hadis di atas termasuk juga kepada kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin dengan syarat apa yang dilakukannya itu tidak membebankan dirinya.


Wallahu 'alam.

logoblog
loading...
loading...

Thanks for reading Kelebihan 10 Muharram (Hari 'Asyura')

Previous
« Prev Post

Tiada ulasan: