Pelakon jual semua baju seksi selepas mulai berhijab | Pelakon yang sedang meningkat naik namanya, Falisha Crossley, memberitahu dia merancang menjual pakaian-pakaian lamanya yang masih elok kerana tidak lagi memakainya selepas kini berubah kepada imej muslimah. Menurut Falisha atau nama sebenarnya Nur Falisha Crossley Faisal, 31, hatinya terbuka untuk berhijab ketika tiga hari lagi menjelang Ramadan. Bagaimanapun dia masih lagi dalam proses belajar dari segi mengayakan dan kesesuian fesyen yang dipakainya.
Katanya lagi, meskipun sudah berhijab, tidak banyak perubahan ketara yang berlaku pada dirinya kerana dia tetap menjadi diri sendiri. “Tiga hari sebelum puasa saya mula pakai tudung. Tiba-tiba saja terdetik hendak pakai tudung. Alhamdulillah, apa yang saya mahu dan hajati setakat ini dalam kehidupan saya, semuanya sudah tercapai dan saya rasa sudah tiba masanya saya berubah lagipun ini satu kewajipan kita sebagai wanita Islam.
“Tak sangka, rupanya banyak juga pakaian saya sampai berkotak-kotak. Ada juga sebahagiannya saya asingkan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Kalau baju yang agak seksi tu, sebolehnya saya akan jual pada yang bukan muslim,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran koleksi Hijab Klasik Dayang, bertempat di hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, pada Khamis. Dalam pada itu, berkongsi mengenai perkembangan seni, pelakon yang pernah membintangi filem Mat Moto ini berkata, tawaran berlakon memberangsang namun kebanyakan watak yang ditawarkan adalah watak tidak berhijab.
Katanya, disebabkan itu, belum sempat dia menolak tawaran berkenaan, pihak produksi yang terlebih dulu memberitahu bahawa mereka terpaksa tidak mengambilnya berlakon dalam drama terbitan mereka.
Begitupun, Falisha mengganggap ianya sebagai bukan rezeki dan percaya ada hikmah disebaliknya. “Saya banyak terima panggilan daripada produksi menawakan saya tawaran berlakon tapi apabila saya beritahu yang saya sudah bertudung, mereka terkejut kerana mereka sangkakan saya saja suka-suka muat naik gambar saya bertudung.
“Tetapi apabila saya jelaskan perkara sebenar, mereka terpaksa menarik balik tawaran itu kerana watak yang mahu diberikan adalah watak tidak bertudung. Tapi tidak mengapalah, mungkin bukan rezeki saya. InsyaAllah, ada hikmahnya dan saya percaya ada rezeki lain pada masa akan datang,” katanya. -MD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan